~~Tanpa ilmu dan amal aku bukanlah insan sempurna,aku hanyalah seorang yang berdosa... Aku amat mencintai orang² yang soleh, meskipun aku BUKAN sebahagian dari mereka.... Aku sangat benci orang² yang bermaksiat, meskipun tanpa sedar, aku SEBAHAGIAN dari mereka..... Memang aku tak layak berbicara tentang ilmu AGAMA , tapi aku mahu bersama dengan orang² yang tinggi ilmu AGAMA nya~~!.

Remajaku, gurumu untuk dikasihi bukan disakiti

Posted by Dea at Thursday, October 18, 2012
a
Puisi Guru Oh Guru – Usman Awang

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewas
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa

Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku

Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat

USMAN AWANG
1979

Setiap kali membaca puisi Guru Oh Guru oleh SN Dato’ Dr Usman Awang wajah setiap guru yang pernah mendidik dari sekolah rendah hingga universiti akan bermain dalam ingatan.
Menjadi seorang guru bukanlah satu tugas yang mudah. Bukan semua insan sanggup dan mahu melakukannya. Guru ibarat lilin, membakar diri menerangi orang lain. Sejak dahulu hingga kini guru tetap merupakan insan penting dalam kehidupan kita.

Namun, akhir-akhir ini sering kita dengar hal-hal kurang menyenangkan antara guru dan pelajar. Tidak sedikit kisah yang kita dengar tentang guru mencabul pelajarnya, begitu juga guru memukul dan mencederakan pelajar dan macam-macam lagi hal yang kurang enak didengar.
Dari sudut lain pula, semakin ramai guru yang keluh kesah dengan sikap pelajar masing-masing, terutamanya pelajar remaja. Bukan sedikit kisah pelajar yang degil, ponteng sekolah, melawan, memaki hamun, memukul atau menyakiti guru masing-masing.

Remajaku, gurumu untuk dikasihi bukan disakiti. Hayatilah puisi di atas betapa sentuhan para guru merupakan sentuhan ajaib yang boleh mengubah seorang manusia dengan izin Allah. Insan boleh menjadi istimewa atau sebaliknya dengan bimbingan guru.

Dalam membicarakan kepentingan guru dalam kehidupan remaja. Meletakkan semua tanggungjawab mendidik diri remaja di atas bahu para guru juga merupakan perbuatan yang tidak wajar. Guru adalah sebahagian daripada kehidupan seorang remaja. Namun bahagian yang paling besar mesti diisi oleh ibu bapa. Guru ada peranannya yang tersendiri dalam hidup remaja, manakala ibu bapa memiliki tanggungjawab yang lebih besar dalam memastikan apa yang disampaikan oleh guru diamalkan oleh anak remaja masing-masing.
Kenapakah guru sangat penting dalam kehidupan kita wahai remajaku? Jawapannya kerana guru dan ilmu tidak dapat dipisahkan. Melalui guru kita mendapatkan ilmu. Dalam mendapatkan ilmu kita memerlukan bimbingan guru.

Islam memandang tinggi orang yang menuntut ilmu, ia merupakan satu amalan yang sangat tinggi nilainya. Pahalanya amat besar sehingga orang yang mati semasa menuntut ilmu dikategorikan seperti seorang yang mati dalam beribadah.

Ayat pertama yang diturunkan dalam al-Quran memerintah manusia supaya membaca yang maksudnya menuntut ilmu, sebagaimana firman Tuhan yang bermaksud,
"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia yang menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia dengan perantaraan qalam.”
(Al-Alaq 96: 1-4)
Dalam sebuah hadis, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda (maksudnya),
"Barang siapa keluar untuk menuntut ilmu maka ia termasuk dalam golongan orang yang berjuang di jalan Allah, sehinggalah dia kembali."
Menuntut ilmu sama ada ilmu fardu ain atau fardu kifayah, kedua-duanya adalah penting.
Allah turut berfirman (maksudnya),
"Katakanlah hai Muhammad! Adakah sama kedudukan orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu? Sesungguhnya orang yang sedar itu ialah orang yang berfikir.”
(Az-Zumar 39: 9)

Ilmu pengetahuan yang ada dalam diri seseorang itu dapat meningkatkan kedudukannya dalam masyarakat. Lagi tinggi pengetahuan seseorang, lagi tinggilah kemuliaannya dalam masyarakat. Orang berilmu bagaikan bintang yang bersinar pada waktu malam.

Usia remaja adalah usia di mana seseorang itu perlu melengkapkan diri dengan ilmu sebanyak-banyaknya sebagai bekalan menuju kedewasaan dan paling penting menuju dunia abadi.

Usahlah marah dan benci jika guru memberikan nasihat. Jauhilah salah sangka dan benci pada guru walaupun ada kalanya mereka melukakan hatimu. Guru juga manusia, mereka juga boleh tersilap seperti kita. Terimalah setiap ilmu, teguran, muhasabah, nasihat dan bekalan yang gurumu berikan dengan lapang dada. Andai kita umpama si buta, guru adalah tongkatnya. Andai kita umpama si jahil, belajarlah menjadi cerdik dari seorang guru dan andai kita sebatang pensel, redhalah guru menjadi pengasahnya!

 http://www.malaysiaharmoni.com/

0 comments:

Post a Comment

 

Tentang Dea © 2010 Web Design by Ipietoon Blogger Template and Home Design and Decor