~~Tanpa ilmu dan amal aku bukanlah insan sempurna,aku hanyalah seorang yang berdosa... Aku amat mencintai orang² yang soleh, meskipun aku BUKAN sebahagian dari mereka.... Aku sangat benci orang² yang bermaksiat, meskipun tanpa sedar, aku SEBAHAGIAN dari mereka..... Memang aku tak layak berbicara tentang ilmu AGAMA , tapi aku mahu bersama dengan orang² yang tinggi ilmu AGAMA nya~~!.

Pandanglah Manusia Lain Dengan Penuh Pengharapan

Posted by Dea at Sunday, September 28, 2014 0 comments
Semenjak kita mengenal apa itu kebaikan dan apa itu keburukan, adakah kita lebih kerap membuat penilaian pada perbuatan orang lain daripada perbuatan diri kita sendiri? Lazimnya, apabila kita melihat orang lain membuat kemungkaran kita terus menghukumkan orang itu sebagai orang jahat, ahli maksiat dan orang yang terlaknat.

Kita lupa memandang pada diri sendiri, seolah-olah kita merasakan bahawa diri kitalah yang lebih baik daripada orang yang kita pandang. Sedangkan hakikatnya, kalau kita mengatakan orang lain itu lebih jahat dari diri kita, sebenarnya kitalah lebih jahat lagi. Kalau pun perbuatan kita tidak sejahat yang mereka lakukan, tapi yang jahat itu adalah hati kita. Kejahatan hati adalah lebih dahsyat daripada kejahatan perbuatan.

Memandang orang lain jahat, ahli maksiat, dan golongan terlaknat, hanya akan menutup hati kita daripada membungakan harapan agar orang tersebut berubah menjadi baik. Seolah-olah yang bagi kita tidak tahu apa-apa ini merasakan bahawa Tuhan itu sudah pun mengunci mati hati mereka daripada menerima hidayahNya. Apakah kita yang menjaga Lauh Mahfudzh sehingga kita sudah tahu kehendakNya? Mengapa kita harus mendahului Tuhan dalam menghukum manusia?

Siapakah kita untuk menjadi penghukum? Apakah kita ini sebaik Nabi Musa a.s, Nabi pilihan dan mereka itu sejahat Firaun musuh Tuhan? Sebaik-baik Nabi Musa dan sejahat-jahat Firaun pun, Allah masih mahukan rasulNya itu terus berdakwah kepada Firaun dengan cara yang lemah lembut. Allah masih mahukan sunnah alam terus berlaku, walaupun Dia Maha Tahu bahawa Firaun akhirnya tetap mati dalam kekufuran..

Akan selesailah tugas kita sebagai hamba Allah, hanya apabila kita menghukum seseorang itu sebagai orang yang keras hati dan tak boleh lagi dinasihatkan. Kalau benar kita ingin membuat teguran kepada mereka yang kita hukumkan sebagai ahli maksiat, teruskanlah usaha dakwah sebagaimana yang dibuat oleh Rasulullah S.A.W terhadap bapa saudaranya Abu Talib. Biar pun Abu Talib mati dalam kekufuran, namun Baginda tetap memujuk sehingga nafas terakhir dihembuskan oleh bapa saudaranya yang paling disayangi itu.

Kalau selama ini kita tegur dengan kekerasan, apalah salahnya kita cuba dengan cara yang lembut. Siapa tahu, dengan cara itu maka Allah berkenan memberinya petunjuk. Pernahkah kita berdoa sesuatu yang baik untuk mereka yang kita namakan sebagai ahli maksiat? Atau selama ini dek kerana saratnya hati kita dengan perasaan benci, kita sanggup menadah tangan memohon kehancuran untuk mereka? Siapa yang lebih jahat kalau bukan orang yang selalu mengharapkan kehancuran untuk orang lain?

Berkata Imam Hassan Al Banna “Jadilah umpama pohon kayu, orang membaling kita dengan batu tapi kita membalasnya dengan buah”. Terlalu banyak teladan yang Rasul SAW tunjukkan dalam menghadapi kekerasan. Sejauh mana kita mencontohi baginda? Allah sendiri mengingatkan Rasulullah SAW supaya jangan bersikap keras kerana ia hanya akan menyebabkan manusia manusia lari daripada kita.

Siapa untung, bila mereka ini menjauhi kita sebelum sempat kebenaran Islam itu kita sampaikan. Bagaimana manusia ingin sudi mendengar kebenaran kalau ia kita sampaikan semuanya dalam bentuk kekerasan. Makanan yang lazat pun kalau kita campak atau balingkan ke hadapan orang, akan terbantut selera mereka untuk menjamahnya. 

Cuba renungkan kembali kehidupan kita ini. sememangnya tiada seorang pun mahukan hujung hayat mereka diakhiri dengan cara yang terburuk. Tapi tanyakanlah pada hati kita ini, siapa boleh jamin bahawa kita yang kononnya merasa diri sentiasa beramal ibadat ini, akan mati dalam keadaan yang baik? Siapa pula yang boleh jamin bahawa orang yang kita katakan jahat kerana selama hidupnya membuat maksiat itu, hujung hayatnya adalah buruk?


Siapa tahu, orang yang kita lihat kaki maksiat dan sentiasa buat dosa selama hidupnya, tiba-tiba mati sebagai kekasih Allah? Siapa tahu, kita yang hidup dengan segala macam perbuatan yang baik, tiba-tiba kita mati dalam kekufuran. Wal’iyazubillah! Tidak cukup kah kisah-kisah teladan yang kita dengar selama ini untuk menjadi peringatan buat diri kita sendiri.

Usahlah diri kita sibuk melihat keburukan orang lain. Pandanglah kepada keburukan diri sendiri. Hukumlah diri sendiri, jangan suka menghukum orang lain. Hidupkan cahaya iman dalam diri agar kegelapan hati dapat kita sinari. Letakkanlah cermin wara’ di hadapan kita supaya dapat kita melihat kesilapan diri kita sendiri. Labuhkanlah tirai Taqwa di sekeliling kita agar kita terlindung daripada memandang keburukan orang lain. Kemudian muhasabahlah diri sendiri. Risaukanlah tentang diri, kerana kita tidak tahu apakah hujung hayat kita nanti akan kekal sebagai husnul khotimah.

Apa Yang Kita Sibukkan…?

Posted by Dea at Sunday, September 28, 2014 0 comments
“Saya sibuk sekarang ni”. Saya tak ada masa”. Banyak kerja yang perlu saya siapkan”.

Itulah jawapan yang selalu kita dengar bila kita ingin minta bantuan dari kawan-kawan…. lebih-lebih lagi ketika kita ingin mengajak rakan kita kepada program-program yang berkaitan dengan Islam. Benarkah semua orang sibuk atau buat-buat sibuk?

Saya yakin memang semua orang sibuk, cuma persoalannya apa yang mereka sibukkan. Kata Imam Al Ghazali “rugilah mereka yang sibuk tetapi segala kesibukan mereka hanya untuk dunia sahaja”. Bagaimana pula dengan kita… apa yang kita sibukkan, adakah kita sibuk menyiapkan bekalan untuk hari pertemuan dengan Allah SWT atau sebaliknya sibuk dengan kenikmatan dunia hingga menyebabkan hati kita terlalu keras untuk mendengar peringatan atau nasihat? Berapa peratuskah kesibukan kita untuk Akhirat?

Mahukah kita tergolong dalam golongan orang-orang yang rugi sepertimana dimaksudkan oleh Imam Al Ghazali. Dalam satu surah Allah SWT berfirman yang maksudnya “Sesungguhnya orang-orang yang rugi itu adalah orang yang merugikan diri mereka dan ahli keluarga mereka di Hari Qiamat. Itulah ‘kerugian’ yang sebenarnya”.

Sekiranya kita tidak fikirkan sekarang, kita akan menyesal pada hari pertemuan kita dengan Allah SWT, hari dimana akan dibentangkan kitab amalan kita….`ada yang akan menerima kitabnya dari sebelah kanan, ada yang akan terima dari sebelah kirinya dan ada pula yang akan menerima kitab amalannya dari belakang… bagaimana pula yang kita harapkan. Dalam surah al Kahfi Allah SWT berfirman yang bermaksud “Dan dibentangkan kitab (Kitab amalan kita yang selama ini dicatat dengan begitu rapi oleh malaikat yang menjaga di kiri dan kanan kita), kamu akan dapati orang-orang yang berdosa itu gementar ketakutan melihat apa yang ada di dalamnya, dan mereka berkata… celakalah kami, kitab apakah ini, tidak tinggal olehnya perkara kecil atau perkara besar melainkan semuanya dihitung, dan mereka dapati apa saja yang mereka kerjakan (di dunia) hadir/nampak di hadapan mereka”

Saat-saat beginikah baru kita nak muhasabah diri dan menyesali bahawa kesibukan diri kita selama ini hampir semuanya untuk dunia semata-mata. Apakah nilainya penyesalan kita pada masa itu? Sememangnya ramai yang menyesali perbuatan mereka pada masa itu dan minta supaya dikembalikan ke dunia untuk mereka beramal soleh….. tetapi kebanyakan permintaan ini Allah jawab dengan sindiran, kerana penyesalan ketika itu tidak bermakna lagi, seperti yang Allah rakamkan dalam surah As Sajdah (ayat 12)

“Dan (alangkah ngerinya), jika sekiranya kamu melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Rabb mereka, mereka berkata…. Ya Rabb kami, Kami dah nampak dah, kami dah dengar… kembalikanlah kami (ke dunia), kami nak buat amal soleh, sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang yakin”

Apakah nilainya penyesalan kita pada ketika itu… setelah jatuhnya ketetapan Allah ke atas diri kita. Sekaranglah masanya untuk kita renungkan masa-masa yang kita lalui, setakat manakah ianya benar-benar bermanfaat untuk Akhirat kita dan berhati-hatilah dengan tipu daya dan belitan syaitan, kerana tipu dayanya terlalu halus.

Tiga Jenis Kawan Kata Imam Al Ghazali

Posted by Dea at Sunday, September 28, 2014 0 comments
- Kawan yang pertama 
Kawan yang ada ilmu, bila kita berkawan dengan dia, dia sentiasa bagi ilmu & nasihat agama kepada kita. Imam Al- Ghazali kata jangan lepas kawan ini. Berkawanlah kerana kebaikan yang banyak diperolehi. -

- Kawan kedua 
Dia tak ada ilmu, tapi kita ada ilmu dan dia terima ilmu & nasihat agama yang kita sampaikan kepada dia.

Imam Al- Ghazali kata jangan lepas kawan ini. Berkawanlah kerana dengan kita sampaikan ilmu & nasihat kepada dia, dia dapat laksanakan perintah Allah SWT.

- Kawan yang ketiga 
Dia tak ada ilmu, kita ada ilmu tetapi bila kita bagi ilmu & nasihat kepada dia, dia tak terima dan macam-macam bagi alasan iaitu seperti dia tak suka ilmu yang disampaikan.. Dia rejek ilmu dan nasihat yang kita bagi.

Imam Al- Ghazali kata jangan kawan dengan orang macam ini kerana tiada bagi manfaat kepada kita dan dia. Dan takut-takut kita terikut cara & tingkahlaku dia yang boleh membawa kita kepada kehancuran, 

MARI KITA MENCARI SAHABAT YANG DI KATAKAN IMAM AL-GHAZALI INSYAALLAH KITA AKAN SELAMAT,

Belajar Memiliki Peribadi yang Ikhlas

Posted by Dea at Wednesday, September 24, 2014 0 comments
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh..
Sahabat saudaraku fillah....

Kita mungkin pernah bingung dengan apa yang kita lakukan...
Kita sudah berusaha baik dan bertindak benar tapi tetap saja dinilai salah...Begini salah, begitu juga salah... Kalau tak berbuat apalagi pasti lebih salah.... Jadi apa yang perlu kita buat?? Serba tak kena dan membingungkan...

Berbuat apapun pasti ada celah untuk dipersalahkan.... Akhirnya kita ambil keputusan terserah apa kata orang, yang terpenting buat sahaja asalkan  tidak menyimpang dari nilai kebenaran...

Sahabat saudaraku fillah....

Di situlah kita diuji tentang keikhlasan dalam melakukan amal perbuatan. Setiap muslim harus memiliki niat dan motivasi ikhlas kerana Allah semata. Secara jelas ikhlas ertinya bersihnya hati dan fikiran seseorang dalam melakukan suatu amal perbuatan ditujukan hanya kepada Allah dan hanya mengharapkan redha Allah semata.

Rasulullah Shallallahu Alaihi Wa Sallam bersabda :

" Allah tidak menerima amal, kecuali amal yang dikerjakan dengan ikhlas kerana Dia semata dan dimaksudkan untuk mencari keredhaan- Nya ." ( HR. Ibnu Majah ).

Ikhlas akan membuat amal yang dikerjakan sekalipun berat akan terasa ringan. Sebaliknya tanpa memiliki jiwa yang ikhlas amal kebajikan seringan apapun akan terasa berat. Keikhlasan akan melatih jiwa kita untuk lebih kuat dan sabar dalam menghadapi berbagai problem kehidupan. Hal ini kerana orang yang ikhlas tidak akan bertambah semangat beramal kerana pujian dan tidak hilang semangat kerana cacian. Ikhlas akan membuat jiwa menjadi independen dan merdeka, tidak dibelenggu oleh pengharapan balasan, pujian dan penghargaan juga tidak takut terhadap celaan dan cemuhan. Memiliki jiwa yang ikhlas amatlah penting kerana akan membuat hidup lebih indah, tenang dan bermakna.

Lantas bagaimana cara membentuk peribadi yang ikhlas?

♥ Memiliki pengetahuan tentang makna ikhlas yakni melakukan amal ibadah hanya ditujukan kepada Allah dan mengingat bahwa segala amal tak ada ertinya tanpa disertai keikhlasan.

♥ Melaksanakan ibadah yang wajib dan sunnah kerana seluruh rangkaian ibadah itu mendidik kita untuk menjadi orang yang ikhlas.

♥ Bergaul dengan orang yang ikhlas , hal ini terlihat dari kesinambungan dan kesungguhannya dalam melakukan kebaikan dalam segala keadaan.

♥ Meneladani orang yang ikhlas baik dari sejarah nabi dan rasul, sahabat rasul, ulama, maupun generasi Islam yang soleh.

♥ Selalu memohon pertolongan kepada Allah agar memiliki kebersihan hati dari hal- hal yang akan mengotorinya sebagaimana do'a Rasulullah berikut ini :

" Allahumma innii a'uudzubika min an usyrika bika syaian a'lamuhu wa astaghfiruka limaa laa a'lamuhu.

( Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu dari menyekutukan- Mu, sesuatu yang tidak kami ketahui, dan kami memohon ampunan kepada-Mu dari sesuatu yang tidak kami ketahui).

Demikianlah sahabat saudaraku fillah..semoga catatan ini bermanfaat..

Tanda-tanda Orang Yang Mendapat Hidayah

Posted by Dea at Wednesday, September 24, 2014 0 comments

1. Merasakan kemudahan dalam beramal soleh.

Orang yang telah mendapatkan hidayah akan merasa mudah atau ringan dalam melaksanakan amal soleh, rajin dan tekun dalam beribadah, serta sangat takut berbuat kedurhakaan. Sementara orang yang tidak mendapatkan hidayah-Nya akan merasa malas dalam beramal soleh dan tidak merasa bersalah kalau berbuat maksiat.
Allah SWT. berfirman, “Barangsiapa yang Allah kehendaki untuk mendapat petunjuk, nescaya Dia melapangkan dadanya untuk Islam. Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah ia sedang mendaki langit. Begitulah Allah menimpakan siksa kepada orang-orang yang tidak beriman.” (QS Al-Anam 6: 125)

2. Merasakan kerinduan kepada Allah SWT.

Orang yang mendapatkan hidayah, setiap relung hatinya terisi dengan kerinduan kepada Allah swt. Jika nama Allah swt. disebut, akan bergetar hatinya, Kalau dibacakan firman-Nya, akan bertambah imannya; ia bertawakal, mendirikan shalat, dan mengeluarkan zakat sebagai ekspresi syukur atas nikmat yang diterimanya.


Firman Allah SWT, “Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka, dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakal. Orang-orang yang mendirikan shalat dan yang menafkahkan sebagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Itulah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan memperoleh beberapa darjat ketinggian di sisi Tuhannya dan ampunan serta rezeki yang mulia.” (QS Al-Anfal 8: 2-4)

3. Konsisten atau Istiqamah.

Orang yang mendapatkan hidayah akan istiqamah atau konsisten dalam menjalankan perintah-perintah-Nya. Ia akan merasa nikmat saat beribadah kepada-Nya. Hal ini dijelaskan dalam ayat berikut,
Firman Allah SWT bermaksud, “Barangsiapa yang berpegang teguh kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah diberi petunjuk kepada jalan yang lurus.” (QS Ali-Imran 3: 101).
Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya Allah suka apabila seorang hamba mengerjakan suatu pekerjaan dan dia konsisten melakukannya.” (H.R. Baihaqi)

Ketaatan mereka dalam memegang ajaran agama diumpamakan dalam ayat berikut.
“Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik (la Ilaha Illallah) seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat.” (QS. Ibrahim 14: 24-25)

4. Bersemangat dalam mempelajari ajaran agama.

Orang yang mendapatkan hidayah akan memiliki semangat untuk selalu menelaah ajaran-ajaran Allah. Islam itu agama yang harus difahami, bukan sekadar diyakini.

Rasulullah saw bersabda, ”Apabila Allah akan memberikan kebaikan pada seseorang, Dia faqihkan orang tersebut dalam agama.”

Yang dimaksud dengan Dia faqihkan orang tersebut dalam agama yaitu orang tersebut bersemangat untuk menelaah ajaran-ajaran Islam.

5. Sabar menghadapi berbagai ujian.

Allah swt. memberikan kehidupan kepada manusia sebagai ujian. Siapakah di antara hamba-Nya yang paling baik amalnya. Kehidupan dunia merupakan ladang amal.
“Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun” (QS. Al Mulk 67: 2)

Orang-orang yang mendapatkan hidayah akan tahan menghadapi berbagai ujian kehidupan, sebagaimana dijelaskan dalam ayat berikut.
“Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, ‘Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun.’ Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” (QS Al-Baqarah 2:155-157)

Pada akhir ayat di atas tertulis dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk. Ini merupakan pengunci ayat yang menegaskan bahawa orang-orang yang bersabar adalah orang-orang yang mendapatkan petunjuk atau hidayah-Nya.


Khas untuk sahabat

Posted by Dea at Thursday, September 18, 2014 0 comments




Assalamualaikum sahabat…..
Hanya terima kasih….
Yang mampu ku ucapkan buat sahabat….
Untuk nasihat sahabat…
Kata-kata perangsang….
Dan doa dari sahabat….
Hanya ALLAH sahaja yang dapat membalas segala kebaikan sahabat untukku….
Moga sahabat sentiasa dalam rahmat ALLAH…

Terima kasih YA ALLAH….
Atas setiap anugerahMU yang bernilai dan berharga buatku…..
ENGKAU hadirkan seorang sahabat buat diriku….
Seorang sahabat yang baik….
Setiap hari,tanpa jemu-jemu….
Memberi nasihat dan kata-kata perangsang buatku….

YA ALLAH,
PadaMU ku memohon…..
Agar ikatan ukhwah ini berkekalan hingga ke akhir hayat….
Andai hadirnya ketentuan dariMU,ku pasrah YA ALLAH…..

Terima kasih YA ALLAH…..
Kerana ENGKAU gerakkan hati kami untuk menyimpul tali ikatan ukhwah ini…
Ikatan ukhwah kami ini keranaMU YA ALLAH….
Silaturrahim yang dibina keranaMU YA ALLAH…

Terima kasih YA ALLAH…..terima kasih sahabat.
Hanya terima kasih yang tidak terhingga mampu ku ucapkan buat sahabat.

Apabila Wanita Muslimah Jatuh Cinta

Posted by Dea at Wednesday, September 17, 2014 0 comments


Wanita muslimah jatuh  Cinta?

Tiada yang pelik, mereka juga adalah manusia.
Bukankah cinta itu adalah fitrah manusia?


Mereka juga punya hati dan rasa.

Tetapi tahukah kalian betapa berbezanya mereka ketika cinta seorang lelaki menyapa hatinya? Tiada senyuman bahagia, tiada rona malu di wajah, tiada perasaan suka di dada. Namun sebaliknya.

Ketika wanita muslimah jatuh cinta, yang mereka rasakan adalah ketakutan yang begitu besar akan cinta yang tidak lagi suci

Yang ada adalah kegelisahan, kerana rasa yang salah arah. Yang ada adalah penderitaan akan hati yang mulai sakit.

Ketika wanita muslimah jatuh cinta, bukan harapan untuk bertemu yang mereka nantikan, tapi yang ada adalah rasa ingin menghindar dan menjauh dari orang tersebut.

Tiada kata-kata cinta dan rayuan. Yang ada adalah kekhuatiran yang amat sangat, akan hati yang mulai merindukan lelaki yang belum halal ataupun mungkin yang tak akan pernah halal baginya.

Ketika mereka jatuh cinta, maka perhatikanlah, kegelisahan di hatinya yang tidak mampu lagi memberikan ketenangan di wajahnya yang dulu teduh. Mereka akan terus berusaha mematikan rasa itu bagaimanapun caranya. Bahkan  jika cinta dia harus menghilang, maka itu pun akan dilakukan.

Alangka kasihannya jika wanita muslimah jatuh cinta, kerana yang ada adalah penderitaan. Tetapi saudari, bersabarlah. Jadikan ini ujian dari Rabbmu. Matikan rasa itu secepatnya. Pasang tembok pembatas antara kau dan dia.

Pasangkan duri dalam hatimu, agar rasa itu tidak tumbuh bersemai. Cuci dengan air mata penyesalan akan hijab yang sempat tersingkap. Putarkan balik kemudi hatimu, agar rasa itu tetap terarah hanya padaNya.

Pupuskan rasa rindu padanya dan kembalikan dalam hatimu rasa rindu akan cinta Rabbmu.

Saudari, janganlah khuatir kau akan kehilangan cintanya. Kerana jika memang kalian ditakdirkan bersama, maka tak akan ada yang dapat mencegah kalian bersatu. Tetapi ketahuilah, bagaimana pun usaha kalian untuk bersatu, jika Allah tidak menghendakinya, maka tidak akan boleh kalian bersatu.

Saudari, bersabarlah. Biarkan Allah yang mengaturnya. Maka yakinlah, semuanya akan baik-baik sahaja. Semuanya akan indah pada waktunya.

Ukhuwah atau Ikhtilat?

Posted by Dea at Friday, September 12, 2014 0 comments
~Bila sahabat2 semakin menyepi dan pergi dari hidup kita ..perlukah kita berasa kesal dan sedih? Mungkin ya..dan mungkin juga tidak~!  Terpulang pada diri kita utk memilih siapakah sebenar-benarnya sahabat atas nama ukhuwah..atau atas nama ikhtilat. Ikhtilat adalah hubungan yg berlandaskan nafsu dan bisikan syaitan, sedangkan ukhuwah adalah hubungan berlandaskan Islamiyah sejati.

Kita sering menggunakan istilah ukhuwah utk agenda yg tersembunyi, itu yg bermasalah. Kononnya dlm jaringan sosial maya mereka menggunakan istilah "Salam Ukhuwah" utk berkenalan dgn kaum berlainan jantina. Mereka melapik perbuatan mungkar dengan benda yg maaruf. Syukur padaMu Ya Allah yg menyedarkan aku, yg selama ini terlalai sehingga aku hampir tersasar dr hubungan ukhuwah yg sebenar.  

Pada asalnya..niat kita berukhwah kerana Allah..tapi lama kelamaan bisikan demi bisikan syaitan yang kita dengari mula sedikit demi sedikit memesongkan niat kita..contoh:'saya mesej dengan si fulan kerana ukhwah.Bertanya khabar kerana ukhuwah..wish birthday kerana ukhwah..dan bermacam lagi yang disandarkan kerana ukhwah.Tapi senang saya katakan ..itu semua BOHONG!!!bohong belaka. 

Itu lah bisikan syaitan yang semakin kita dengar. Siapa ngajar wish-wish birthday ni berlainan gender ni?? Birthday adik-beradik sendiri pun tak pernah wish..konon nak wish birthday orang yang asing..Allah memudahkan ta'arif ukhwah tapi kita yang memberatkan,Kena hafal semua tarikh birthday..makanan kegemaran dan bermacam lagi..Jangan benarkan minda kita didoktrin dengan amalan-amalan yang tidak beri manfaat malah menambah dosa.

Jadi fikir-fikirkan ukhuwah kita di mana sebenarnya sahabat??? Memang wujud ukhuwah muslimin muslimat tapi tengok di mana kewujudannya?? Tidak semua tempat..tidak semua masa ia di bolehkan.Kerana itu saya selalu menekankan..ukhuwah muslimin muslimat memang atas gerak kerja dan perkara yang berkaitan menyuruh kepada yang maaruf..melarang perkara mungkar.Yang penting ia membawa kepada rasa takut kepada Allah dan takwa.


Terima kasih pada sahabat2 yg masih setia dengan ikatan ukhuwah yg sejati. Inn Sha Allah moga persahabatan ini akan membawa kita hingga matlamat akhir kita...Ukhuwah until Jannah.




Muhasabahlah Diri Kita Sentiasa

Posted by Dea at Friday, September 12, 2014 0 comments
~Cuti pertengahan penggal kedua telah pun bermula...Jika sebelum ini, inilah hari yg dinantikan oleh murid-muridku ( Thn 6 )..kini kedatangannya disambut agak suram. Bila aku tanya apa aktiviti yg akn mereka buat cuti ni..x taulah cikgu..., x kemana-mana kot cikgu.., mak sy dah batalkan percutian cikgu..dan mcm2 lagi jawapan yg diberikan oleh mereka.

Mereka x salah..mereka adalah mangsa keadaan atas sikap x berttgjwb org dewasa..x kiralah siapa org dewasa itu..? Biarlah mereka yg dipertggjwbkan menyelesaikan kemelut yg melanda dunia pendidikan negara. Kita hanya perlu tunggu dan lihat..Kita hanya mampu berdoa semoga hanya mereka yg benar2 terlibat sahaja dihukum dan bukan menjadi mangsa kerakusan pihak2 tertentu demi menjaga periuk nasi mereka.

Mood aku utk pergi bercuti juga semakin hilang..masih memikirkan apa yg perlu dilakukan utk menanti tarikh 30 Sept itu. Mungkinkan soalan bagi subjek Sains akan lebih mencabar? Cuti yang sepatutnya utk aku merehatkan otak serta fizikal yg penat setelah bertungkus lumus di sekolah dari pagi hingga ke petang..berakhir dengan sesuatu yg x terduga..Mungkin inilah ujian yg diberikan oleh Allah kepada diriku..utk melihat sejauhmana kesabaranku..melihat adakah aku manusia yg mudah berputus asa atau manusia yg suka menunding jari kpd org lain atas apa yg berlaku. Alhamdulillah..aku akan terus melihat apa yg berlaku dr sudut yg positif..ada sesuatu yg Allah ingin sampaikan pd hamba2nya..Semoga kita semua sentiasa bermuhasabah diri dan sentiasa ingat dosa serta pahala dalam melakukan sesuatu..
 

Tentang Dea © 2010 Web Design by Ipietoon Blogger Template and Home Design and Decor