~~Tanpa ilmu dan amal aku bukanlah insan sempurna,aku hanyalah seorang yang berdosa... Aku amat mencintai orang² yang soleh, meskipun aku BUKAN sebahagian dari mereka.... Aku sangat benci orang² yang bermaksiat, meskipun tanpa sedar, aku SEBAHAGIAN dari mereka..... Memang aku tak layak berbicara tentang ilmu AGAMA , tapi aku mahu bersama dengan orang² yang tinggi ilmu AGAMA nya~~!.

Apakah Jerebu?

Posted by Dea at Monday, June 24, 2013
Jerebu bukan sekadar asap biasa !! Pakar-pakar alam sekitar dan kejuruteraan kimia memberi amaran jerebu itu amat bahaya kerana ia mengandungi campuran gas beracun dan bahan kimia termasuk magnesium.
Bahan-bahan itu mampu menghakis permukaan paru-paru sekali gus melumpuhkan sistem pernafasan manusia.
Campuran bahan terampai tersebut menjadi lebih berbahaya kerana ia bergabung dengan asap-asap kilang dan kenderaan yang mengandungi plumbum serta nitrogen oksida yang boleh menyebabkan gangguan otak dan berbahaya kepada paru-paru.

 
Jerebu merupakan satu fenomena yang disebabkan oleh kewujudan banyak partikel kecil yang tidak boleh dilihat oleh mata kasar dan terapung-apung di udara. Partikel-partikel ini mungkin berasal secara semula jadi ataupun kesan sampingan daripada aktiviti manusia.
Apabila partikel-partikel ini wujud dalam kuantiti yang banyak dan berkelompok ia boleh menyekat pancaran cahaya matahari ke bumi. Oleh yang demikian keadaan ini mengurangkan jarak pandangan mata kasar.
Punca-punca jerebu
Punca utama jerebu adalah akibat daripada:
* Pembakaran secara terbuka
* Asap daripada kilang
* Asap daripada kenderaan.

Indeks pencemaran udara (IPU)
IPU diperoleh daripada pengukuran habuk yang halus (10 mikron ke bawah) dan beberapa jenis gas yang boleh menjejaskan kesihatan iaitu karbon monoksida, sulfur dioksida, nitrogen dioksida dan ozon.
IPU digunakan sebagai panduan untuk mengetahui kualiti udara dan kesannya terhadap kesihatan seperti berikut:

Nilai IPU Status
0 - 50 - Baik
51- 100 - Sederhana
101- 200 - Tidak sihat
201- 300 - Sangat tidak sihat
301- 500 - Berbahaya

Anda perlu mengikuti perkembangan semasa melalui media massa (akhbar, televisyen dan radio) untuk mengetahui tahap jerebu semasa di tempat anda supaya dapat mengambil langkah-langkah pencegahan.
Jerebu mengancam kesihatan anda
Keadaan jerebu yang berterusan akan mendatangkan kesan buruk kepada semua orang terutama golongan yang berisiko tinggi iaitu:
* Kanak-kanak
* Orang tua
* Mereka yang mengalami penyakit asma, bronkitis, radang paru-paru, penyakit paru-paru yang kronik, jantung dan alahan
* Perokok
* Mereka yang sentiasa bekerja di luar pejabat atau rumah.
Tanda dan gejala kesan jerebu terhadap kesihatan
Kesan-kesan yang akan dialami setelah terdedah secara berterusan kepada jerebu termasuklah:
* Gatal-gatal di bahagian kerongkong dan batuk-batuk
* Sukar bernafas atau sesak nafas
* Mata pedih dan berair
* Hidung berair dan kerap bersin
* Kulit badan terasa gatal-gatal
* Sakit-sakit dada

Dapatkan rawatan dan nasihat doktor di klinik berhampiran sekiranya anda mempunyai tanda-tanda dan gejala tersebut.
Cegahlah penyakit akibat jerebu. Ikuti nasihat berikut:

* Mereka yang mengalami penyakit-penyakit seperti batuk, selesema, asma, sakit mata, sakit jantung atau penyakit paru-paru yang kronik hendaklah datang ke klinik dengan segera jika keadaan penyakit bertambah buruk
* Mereka yang di dalam kumpulan berisiko tinggi hendaklah sentiasa mengambil ubat seperti yang dinasihatkan
* Penutup hidung hendaklah digunakan oleh semua penunggang motosikal, mereka yang bekerja di luar bangunan atau di tempat-tempat yang berhabuk dan juga mereka yang dalam kumpulan berisiko tinggi
* Perokok yang mempunyai anak kecil, ibu bapa tua dan sanak saudara yang berpenyakit jangan merokok di dalam rumah
* Sejauh yang boleh, orang ramai dinasihatkan supaya tinggal di dalam bangunan atau rumah
* Kurangkan aktiviti sukan di luar rumah.
* Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa membasuh muka dan bahagian kulit yang terdedah kepada jerebu dengan air bersih
* Sekiranya kenderaan anda berhawa dingin, sila gunakannya
* Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa meminum air yang banyak
* Perokok dinasihatkan supaya tidak merokok apabila keadaan udara tidak sihat (iaitu IPU yang melebihi 100)
* Mereka yang berisiko tinggi dinasihatkan mengambil cuti di luar kawasan yang berjerebu sekiranya keadaan jerebu berterusan pada tahap berbahaya di kawasan mereka.

- Bahagian Pendidikan Kesihatan dengan kerjasama Unit Kesihatan Pekerja dan Alam Sekitar, Kementerian Kesihatan

0 comments:

Post a Comment

 

Tentang Dea © 2010 Web Design by Ipietoon Blogger Template and Home Design and Decor