SISTEM suria dilingkari
dua cincin, iaitu jalur asteroid dan jalur Kuiper. Jalur asteroid
memisahkan planet Bumi dengan planet Jovian, manakala jalur Kuiper
terletak selepas planet Neptune. Semasa proses pembentukan sistem suria
yang berlaku pada 4.6 bilion tahun dahulu, terdapat objek yang tidak
berjaya membentuk planet. Saintis menamakan objek tersebut sebagai objek
gelandangan sistem suria, yang merangkumi asteroid, meteoroid dan
komet.
Asteroid dibahagikan
kepada tiga kumpulan utama, iaitu asteroid hampir Bumi, asteroid jalur
utama dan asteroid jalur luaran. Tiga parameter yang membezakan
ketiga-tiga kumpulan tersebut ialah garis lintang ekliptik heliosentrik,
garis bujur ekliptik heliosentrik serta jarak heliosentrik.
Asteroid hampir Bumi
dipecahkan kepada tiga kumpulan yang lebih kecil, iaitu Amor, Aten dan
Apollo. Asteroid jalur utama turut dipecahkan kepada 12 kumpulan yang
lebih kecil, iaitu Agusta, Alinda, Eos, Eunomia, Flora, Hungaria,
Hygiea, Koronis, Maria, Nysa, Themis dan Vesta. Asteroid jalur luaran
memiliki empat kumpulan yang kecil, iaitu Cybele, Hilda, Thule dan
Trojan.

0 comments:
Post a Comment