Hubungan yang baik antara satu dengan lain dan khususnya antara muslim
yang satu dengan muslim lainnya merupakan sesuatu yang harus dijalin
dengan sebaik-baiknya. Ini kerana Allah telah menggariskan bahawa mukmin
itu bersaudara. Itulah sebabnya, segala bentuk sikap dan sifat yang
akan memperkukuh dan memantapkan persaudaraan harus ditumbuhkan dan
dipelihara, sedangkan segala bentuk sikap dan sifat yang dapat merosak
ukhuwah harus dihilangkan.
Agar hubungan ukhuwah islamiyah itu
tetap terjalin dengan baik, salah satu sifat positif yang harus
dipenuhi adalah husnuzh zhan (berbaik sangka). Oleh kerana itu, apabila
kita mendapatkan informasi negatif tentang sesuatu yang terkait dengan
peribadi seseorang apalagi seorang muslim, maka kita harus melakukan
tabayyun (penyelidikan) terlebih dahulu sebelum mempercayainya apalagi
meresponnya secara negatif, Allah berfirman yang ertinya:
"Wahai
orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik
membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan)
kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara
yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga
menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." Q.S Al-Hujuraat :
6.
Manfaat Berbaik Sangka
Ada banyak nilai dan manfaat yang diperolehi seseorang muslim bila dia memiliki sifat husnuzh zhan kepada orang lain.
Pertama,
hubungan persahabatan dan persaudaraan menjadi lebih baik, perkara ini
kerana berbaik sangka dalam hubungan sesama muslim akan menghindari
terjadinya keretakan hubungan. Bahkan keharmonian hubungan akan semakin
terasa kerana tidak ada halangan psikologis yang menghambat hubungan
itu.
Kedua, terhindar dari penyesalan dalam hubungan dengan
sesama kerana buruk sangka akan membuat seseorang menimpakan keburukan
kepada orang lain tanpa bukti yang benar, Allah berfirman sebagaimana
yang disebutkan pada Surah Al-Hujuraat Ayat 6 di atas.
Ketiga,
selalu berbahagia atas segala kemajuan yang dicapai orang lain,
meskipun kita sendiri belum dapat mencapainya, perkara ini memiliki erti
yang sangat penting, kerana dengan demikian jiwa kita menjadi tenang
dan terhindar dari iri hati yang boleh berkembang pada dosa-dosa baru
sebagai kelanjutannya.
Ini bererti kebaikan dan kejujuran akan
membawa kita pada kebaikan yang banyak dan dosa serta keburukan akan
membawa kita pada dosa-dosa berikutnya yang lebih besar lagi dengan
dampak negatif yang semakin banyak.
Ruginya Berburuk Sangka
Manakala
jika kita melakukan atau memiliki sifat berburuk sangka, ada sejumlah
kerugian yang akan kita perolehi, baik dalam kehidupan di dunia mahupun
di akhirat.
Pertama, mendapat dosa. Berburuk sangka merupakan
sesuatu yang jelas-jelas bernilai dosa, kerana disamping kita sudah
menganggap orang lain tidak baik tanpa dasar yang jelas, berusaha
menyelidiki atau mencari-cari keburukan orang lain, juga akan membuat
kita melakukan dan mengungkapkan segala sesuatu yang buruk tentang
orang lain yang kita berburuk sangka kepadanya, Allah berfirman yang
ertinya:
"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan
dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang)
kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan
janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang
dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah
seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati?
(Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik
kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan
bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi
Maha mengasihani." Q.S Al-Hujuraat : 12.
Kedua, dusta yang
besar. Berburuk sangka akan membuat kita menjadi rugi, kerana apa yang
kita kemukakan merupakan suatu dusta yang sebesar-besarnya, perkara ini
disabdakan oleh Rasulullah:
"Jauhilah prasangka itu, sebab prasangka itu pembicaraan yang paling dusta" HR. Muttafaqun alaihi.
Ketiga,
menimbulkan sifat buruk. Berburuk sangka kepada orang lain tidak hanya
berakibat pada penilaian dosa dan dusta yang besar, tetapi juga akan
mengakibatkan munculnya sifat-sifat buruk lainnya yang sangat
berbahaya, baik dalam perkembangan peribadi mahupun hubungannya dengan
orang lain, sifat-sifat itu antara lain ghibah, kebencian, hasad,
menjauhi hubungan dengan orang lain dll. Dalam satu hadith, Rasulullah
bersabda:
"Hendaklah kamu selalu benar. Sesungguhnya kebenaran
membawa kepada kebajikan dan kebajikan membawa ke syurga. Selama
seseorang benar dan selalu memilih kebenaran dia tercatat di sisi Allah
seorang yang benar (jujur). Berhati-hatilah terhadap dusta,
sesungguhnya dusta membawa kepada kejahatan dan kejahatan membawa
kepada neraka. Selama seseorang dusta dan selalu memilih dusta dia
tercatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta." HR. Bukhari.
Larangan Berburuk Sangka
Kerana
berburuk sangka merupakan sesuatu yang sangat tercela dan
mengakibatkan kerugian, maka perbuatan ini sangat dilarang di dalam
Islam sebagaimana yang sudah disebutkan pada Surah Al-Hujuraat Ayat 12
di atas. Untuk menjauhi perasaan berburuk sangka, maka masing-masing
kita harus menyedari betapa hal ini sangat tidak baik dan tidak benar
dalam hubungan persaudaraan, apalagi dengan sesama muslim dan aktivis
dakwah.
Disamping itu, bila ada benih-benih di dalam hati
perasaan berburuk sangka, maka perkara itu harus segera dicegah dan
dijauhi kerana ia berasal dari godaan syaitan yang bermaksud buruk
kepada kita. Dan yang lebih penting lagi adalah memperkukuh terus
jalinan persaudaraan antara sesama muslim dan aktivis dakwah agar yang
selalu kita kembangkan adalah berbaik sangka, bukan malah berburuk
sangka. Oleh kerana itu, Khalifah Umar bin Khattab menyatakan:
"Janganlah
kamu menyangka dengan satu kata pun yang keluar dari seorang saudaramu
yang mukmin kecuali dengan kebaikan yang engkau dapatkan bahawa
kata-kata itu mengandungi kebaikan."
Demikian perkara-perkara
dasar yang harus mendapat perhatian kita dalam kaitan dengan sikap
husnuzh zhan (berbaik sangka). Ya Allah, bukakanlah ke atas kami
hikmatMu dan limpahilah ke atas kami khazanah rahmatMu, wahai Tuhan
Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Wahai Tuhanku, tambahkanlah
ilmuku dan luaskanlah kefahamanku. Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku
dan mudahkanlah urusanku.
"Seandainya engkau menyampaikan
keburukan saudaramu, jika itu benar, maka bererti kamu sudah membuka
aib saudaramu, dan jika itu salah, maka engkau sudah melakukan fitnah"
~~Tanpa ilmu dan amal aku bukanlah insan sempurna,aku hanyalah seorang yang berdosa... Aku amat mencintai orang² yang soleh, meskipun aku BUKAN sebahagian dari mereka.... Aku sangat benci orang² yang bermaksiat, meskipun tanpa sedar, aku SEBAHAGIAN dari mereka..... Memang aku tak layak berbicara tentang ilmu AGAMA , tapi aku mahu bersama dengan orang² yang tinggi ilmu AGAMA nya~~!.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment