MALAYSIA antara negara yang kaya dengan
pelbagai jenis makanan hasil kepelbagaian budaya dan masyarakatnya yang
berbilang kaum. Bertitik tolak daripada ini, terdapat segelintir
masyarakat Malaysia yang kurang menjaga pemakanannya dan diburukkan lagi
dengan mengamalkan menu tidak sihat, seperti mengambil makanan yang
melebihi paras kolesterol, gula dan garam. Akibatnya, pelbagai jenis
penyakit dihidapi termasuklah penyakit kencing manis atau diabetes.
Di Malaysia, dianggarkan 17 peratus
penduduk mengalami diabetes. Jumlah yang sebenar, mungkin sekali ganda
lebih tinggi daripada jumlah yang direkodkan oleh Persatuan Diabetes
Malaysia (PDM). Diabetes terjadi apabila badan tidak lagi berupaya
mengawal kandungan glukosa di dalam darah yang menyebabkan paras glukosa
meningkat. Hal ini terjadi kerana badan seseorang kekurangan Insulin,
iaitu hormon yang bertanggungjawab bagi mengawal tahap glukosa di dalam
badan. Oleh hal yang demikian, seseorang perlu mendapatkan suntikan
insulin hampir setiap hari bagi mengawal paras glukosa.
Namun, terdapat tumbuhan yang terbukti
berupaya mengawal paras glukosa dalam darah, iaitu daun pokok gymnema
dan buah pokok peria.
Gymnema atau Gymnema sylvestre berasal dari hutan dan padang rumput di selatan India. Dalam bahasa Hindi dikenali sebagai gurmar
atau pemusnah gula. Daunnya sudah lama digunakan dalam perubatan
tradisional. Kini, daunnya dibuat kajian oleh pakar perubatan India dan
perubatan Ayurveda, kemudian diproses menjadi bentuk tablet sebagai
alternatif rawatan kencing manis. Apabila daunnya dikunyah akan
mencetuskan gangguan keupayaan untuk merasai makanan yang manis.
0 comments:
Post a Comment