Makanan yang tidak halal terbahagi kepada
tiga kategori. Pertama: Apa yang kita ketahui secara zahir adalah
halal, seperti makanan yang dijual oleh restoran Muslim. Kita tidak
dituntut untuk menyemak status para pembekal kepada restoran itu sama
ada mereka menepati syarat-syarat halal atau tidak.
Dalam kategori ini, seandainya ada makanan yang tidak halal dalam restoran itu, kita sebagai pengguna tidak berdosa kerana ia bukan sesuatu yang disengajakan. Allah berfirman: Dan kamu tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya dan ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [al-Ahzab 33:05]
Kedua: Apa yang diketahui sebagai tidak
halal secara jelas, namun pada saat itu kita berada dalam keadaan
darurat sehingga terpaksa memakannya. Maksud darurat ialah suasana yang
mengancam nyawa dan anggota (life and death situation).
Dalam kategori ini, kita sebagai
pengguna tidak berdosa untuk memakan sekadar yang perlu kerana suasana
darurat tersebut menghalalkan apa yang haram. Allah berfirman:
Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai,
darah, daging babi dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana
Allah. Maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia
tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda
yang dimakan itu), maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [al-Baqarah 2:173]
Ketiga: Apa yang diketahui secara jelas
adalah tidak halal, namun ia tetap sengaja dimakan. Sengaja memakan apa
yang tidak halal adalah perbuatan dosa dan semua perbuatan dosa – tanpa
terhad kepada makanan tidak halal – akan menggelapkan hati seseorang. Semakin
kerap seseorang itu sengaja melakukan dosa, semakin gelaplah hatinya.
Semakin gelap hati seseorang, semakin dia terhijab dari Islam yang
sebenar. Semakin jauh dari Islam yang sebenar, semakin rosaklah akhlak orang tersebut.
Rasulullah bersabda berkenaan dosa dan
hati: Sesungguhnya apabila seorang mukmin berbuat dosa, maka akan ada
titik hitam di dalam hatinya. Jika dia bertaubat, meninggalkannya serta meminta ampun maka hatinya akan kembali putih.
Namun jika dia menambah (dosanya) maka akan bertambah (titik hitam),
maka itulah penutup (hati) yang di sebutkan dalam firman Allah dalam
kitab-Nya: “Sekali-kali tidak (demikian), Sebenarnya apa
yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka.”(al-Mutaffifin
83:14) [Shahih Sunan Ibn Majah, no: 4244]
Melayukini.net -
Kita perlulah sentiasa memastikan makanan yang kita makan itu datangnya
dari sumber yang halal. Samalah juga jika kita seorang bapa atau suami,
kita hendaklah memberikan mereka nafkah dari sumber makanan yang halal.
Oleh kerana itulah ramai ustaz-uztaz sering mengingatkan kita bahawa
makanan itu antara perkara yang menyumbang dalam pembentukan akhlak
kita.
0 comments:
Post a Comment