ALBEDO
membawa maksud pecahan cahaya matahari yang dipantulkan semula ke ruang
angkasa oleh planet, asteroid dan satelit semula jadi. Albedo tidak
memiliki unit, sama seperti magnitud ketara dan magnitud mutlak. Albedo
tidak dipengaruhi saiz objek mahupun jarak objek kosmik dari matahari.
Komposisi bahan kimia yang menyelubungi permukaan sesebuah objek kosmik
menentukan albedo.
Utarid merupakan planet
terdekat dengan matahari, memiliki nilai albedo rendah, iaitu 0.142.
Eris pula sebuah planet kerdil dengan diameter 2500 kilometer serta
berjarak 67.67 Unit Astronomi, memiliki nilai albedo jauh lebih tinggi
daripada Utarid, iaitu 0.96. Hal ini demikian kerana permukaan Eris
dipenuhi dengan ais metana berwarna merah, manakala Utarid memiliki
lapisan atmosfera amat nipis.
Zuhal berdiameter 120
540 kilometer dan albedonya ialah 0.47, manakala Enceladus sebuah
satelit semula jadi bagi Zuhal, diameternya cuma 513 kilometer, tetapi
memiliki nilai albedo paling tinggi dalam sistem suria, iaitu 1.375.
Keadaan tersebut berpunca daripada permukaan Enceladus yang dilitupi ais
berwarna putih, terdiri daripada sebatian hidrogen serta oksigen,
manakala permukaan Zuhal dipenuhi dengan kepulan gas hidrogen dan
helium.
____
0 comments:
Post a Comment