Alhamdulillah.....
Diberi kesempatan umur yang panjang dan kesihatan yang agak
baik. Antara nikmat yang diberikan Allah kepada hambaNya. Bersyukurlah dengan
apa yang dikurniakan kepada kita pada hari ini dan sebelumnya. Belum tentu kita
ada esok untuk mensyukurinya. Allah telah berfirman bahawa nikmat yang dikurniakanNya
memang tidak terhitung. Tetapi, kita sebagai hambaNya, adakah kita mensyukuri
nikmat-nikmat itu?
"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu
tidak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun
lagi Maha Penyayang."
(An-Nahl: 18)
Ya Allah, sungguh banyak nikmat yang Kau berikan kepada
kami. Tetapi mungkin kita yang tidak menyedarinya. Kita yang tidak
mensyukurinya. Kita yang tidak pernah berpuas hati dengan nikmat itu.
"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, "
Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya aku akan menambah (nikmat) kepadamu,
tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat"
(Ibrahim:7)
Dan sebenarnya, Allah menguji kita dengan pelbagai cara.
Setiap nikmat yang Allah berikan itu juga adalah ujian bagi kita. Pancaindera,
rumah, pakaian, keluarga, kewangan, mahupun pekerjaan adalah sebahagian nikmat
yang kita perolehi seharian. Ada diantara kita yang sedar dan tahu,tetapi ada
juga yang tidak.
Maka apabila manusia ditimpa bencana dia menyeru Kami,
kemudian apabila Kami berikan nikmat Kami kepadanya, dia berkata,
"Sesungguhnya aku diberi nikmat ini hanyalah kerana kepintaranku".
Sebenarnya, itu adalah ujian, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahuinya.
( Az-Zumar:49)
Sebagai manusia biasa, memang lumrah kita sentiasa tidak
berpuas hati dengan apa yang kita ada. Sentiasa merungut dan mengeluh,
sedangkan Allah lebih mengetahui apa yang dirancangNya. Beryukurlah kita dengan
nikmat yang dikurniakan. Tidak semua nikmat yang kita terima, orang lain juga
terima. Tidak semua nikmat itu akan kita perolehi lagi dan Allah boleh menarik
nikmat itu bila-bila masa sahaja.Jika tidak dapat apa yang kita suka, belajarlah menerima apa yang kita dapat, dan bersyukurlah dengan apa yang kita ada :)
1 comments:
Alhamdulillah. Tak terhitung nikmatNya.
Post a Comment