Ramai orang mengatakan belum cukup ilmu apabila ditanyakan
mengapa tidak menegur orang yang berbuat salah. Tidak kurang juga yang
mengatakan diri sendiri belum baik, mengapa perlu menegur orang lain. Bahkan
ada juga yang mengatakan perlu apa menjaga tepi kain orang, tak perlu jadi
'busy body'. Adakah kita semakin menjadi manusia yang individualistik? Amat
mementingkan diri sendiri? Dan banyak lagi alasan lain untuk tidak
menegur.Barangkali sifat merendah diri atau memikirkan kelemahan dan kekurangan
diri menjadikan kita tidak yakin dan akhirnya meninggalkan usaha mengajak
kebaikan.
Ada di antara kita yang memandang zaman ini menegur orang
biarlah kepada mereka yang ber'authoriti'. Serahkan sahaja pada pak imam, ustaz
atau ustazah. Ada yang berpendapat untuk menegur orang lain diri perlu menjadi
maksum seperti nabi Muhammad s.a.w. Malu dengan latar belakang keluarga yang
tidak sempurna didikan agama.
Sudilah memberi teguran yang baik dan berhikmah, kerana
tanpanya manusia akan selalu terbabas. Fitrah manusia yang selalu lupa dan
terburu-buru, seringkali diruntun oleh gelodak nafsu. Berbanggalah diri sebagai
seorang Islam, menjadikan kita ini sebahagian dari masyarakat yang membentuk
manusia dari dalam dan luaran. Jika berdiam sahaja melihat buasnya dunia
meladeni manusia, alamat kita sedang menuju kehancuran. Bukan sahaja melibatkan
perhubungan sesama manusia, bahkan menyebarkan barah kepada bidang ekonomi,
politik, pendidikan dan akhirnya diri sendiri. Terlalu mengharapkan orang lain
kadangkala hanya meninggalkan harapan sahaja. Allah memberitahu di dalam al
Quran yang bererti, hendaklah ada sebahagian dari golongan yang menyeru kepada
kebaikan dan melarang kepada kemungkaran. Mereka itulah orang yang berjaya.
(Surah Ali Imran : 104)
Kita adalah umat yang terbaik yang lahir dari kelompok
manusia wajib untuk mengajak kepada kebajikan dan mencegah kemungkaran.
Hukumnya sudah menjadi wajib pada masa kini kerana golongan yang menegur itu
semakin mengecil jumlahnya. Menasihati bukan satu cara sahaja. Mereka yang rugi
antaranya adalah yang tidak mahu berpesan-pesan kepada perkara kesabaran dan
kebenaran. Tidak perlu dengan mengeluarkan hadith atau ayat al Quran yang
kadangkala mad's(orang yang ditegur/didakwah) pun tidak tercapai akalnya hendak
menerima kerana mereka sendiri jahil mengenainya.
Seorang muslim yang hebat mempunyai daya pemikiran yang
kretif dan mempunyai semangat yang tidak putus-putus untuk mengajak manusia
kepada kebaikan. Ada daya dengan tangan, maka penyampaian nasihat melalui tulisan
atau lukisan. Menyentuh hati kadangkala lebih berjaya dengan diri kita yang
menunjukkan kebaikan. Sentiasa bermanis muka, tersenyum, tidak mudah marah,
suka menolong dan tidak celupar ketika menutur kata.
Maka, marilah nasihat-menasihati sesama kita kerana tiada
kerugian dalam melaksanakan amar ma'ruf dan nahi munkar.
0 comments:
Post a Comment