Meningkat
umur diperjalanan ini, semakin dewasa pemikiran dan perasaan. Sungguh,
kehadiran cinta menggetarkan jiwa dan rasa. Tanpa perlu belajar, tidak
perlu merujuk nota…
hadirnya tidak di undang, tetap melawat dan mendiam di hati insan.
Manusia
sering menyebut tentang cinta pada hamba-hambaNya. Ternyata kita sering
lupa hakikat cinta sebenar hanya untukNya. Rindu dan kasih sayang
anugerahNya untuk kita belajar mencintaNya melebihi segalanya.
Allah tidak pernah melarang hambaNya berkasih sayang. Justeru, rasa cinta itu sendiri adalah takdirNya.
Maha
Mengetahuinya Dia akan hati hambaNya. Setiap jiwa memiliki perasaan
untuk dicintai dan mencinta, maka Dia menyediakan jalan yang terbaik
untuk hambaNya.
Berkahwinlah keranaNya, mencintailah keranaNya, bertemu dan berpisah
jua keranaNya,hanya untukNya. Terlalu sayangnya Dia pada hambaNya,
sentiasa memberikan kita jalan yg terindah.
Dia mengetahui fitrah yang membalut setiap manusia. Namun, berapa ramai yg menghayati anugerahNya.
Cinta
nafsu yang memerangkap jiwa remaja, padahal telah Allah memberikan
peringatan demi peringatan, namun teruna dan dara terus terbelit dan
terkandas dalam cinta yang dianggap indah namun rupanya bersulam nafsu
semata-mata.
“ Cinta yang membuah ranum di dasar hati,
Menciptakan kemanisan pada jiwa setiap insan yang merasa,
Namun tanpa baja..tanpa dijaga,
Akar yang kukuh juga bisa rapuh,
Andai batang yang tebal jua menyembah bumi,
Manakan ranting dan dahan ingin berpaut,
Andaikan bunga yang indah berguguran sblm kembang,
Manakan buah hendak masak memerah”
Pencinta. Bagitulah
halnya tentang cinta ini, andai perasaan yang terpendam diresipikan
nafsu bukannya iman, rosaklah perasaan, tumbuhnya sekadar mngundang
serangga perosak. Buahnya meranum namun rasanya pahit. Akhirnya dibiar mati tidak dipeduli.
Sabda Rasulullah saw:
“Bahawasanya di dalam jasad anak Adam
ada seketul daging. Apabila baik daging itu, baiklah seluruh
anggotanya. Sebaliknya, jika jahat daging itu, jahatlah seluruh
anggotanya. Ketahuilah daging itu ialah hati.”
Riwayat Al-Bukhari
Jangan
menghantar hatimu menuju kehancuran, kerana terlalu cintakan dunia dan
manusia, akan memakan jiwa. Manakan bisa seorang hamba mengharap pada
hamba yang lain, sedangkan hamba yang lain jua mengharap pada Pencipta
yang satu.
Sekeping hati yang dimiliki setiap jasad ini boleh berubah bila-bila masa sahaja kehendak dan kemahuannya. Sungguh rapuh.
Hari ini
berbicara cinta, hari esok tiada rasa. Hari ini, berjanji setia..hari
esok tiada suara. Hari ini dia milikmu, hari ini esok belum tentu.
Siapa kita untuk mengatur sekeping hati, mengatur jalan kaki sendiri ke
arah yang benar pun ramai yang tidak pasti.
Pencinta. Semua
orang ingin dicintai, tambahan pula bila dicintai oleh insan yang
mereka cintai. Apabila cinta tidak kesampaian, ramai yang merajuk hati
hingga ada insan yang lebih memilih mati hanya kerana disingkir cinta.
Alangkah ruginya titisan air mata dilepaskan untuk cinta manusia yang hidupnya hanya sementara.
Sedangkan
tidak ramai yang sanggup bergenang air mata menghayati anugerah Dia.
Tidak banyak pula yang mensyukuri nikmatNya. Berapa ramai yang sedar
bahawa takdirnya adalah terbaik untuk setiap hambaNya.
Percayalah bahawasanya Dia lebih mengenali hati hambaNya. Masakan Allah
yang maha Penyayang bersikap zalim. Dia maha mengetahui segala sesuatu
baik yang nyata mahupun tersembunyi.
“ Mencintai tidak bererti memiliki..
Siapa berhak melunakkan skeping hati selain Dia,
Mencintai seseorang bermakna kamu perlu bersedia menerima,
Segala kesudahan rasa,
Mencintailah keranaNya dan kamu akan merasai lazatnya cinta,
Tiada jiwa terluka..tiada hati tersiksa,
Kerana insan percaya, takdirNya terindah dari segala peristiwa,
Kerana kita percaya, Dia menentukan segalanya.
Jodohnya manusia ada ditangannya.
Saudaraku tercinta,
Andai kehendak hati terhenti,
Percayalah, Dia sedang mengaturkan sesuatu yang lebih baik lagi,
Cinta yang membuatkan mu tidak lena,
Menjadikan harimu terganggu setiap masa,
Bukannya itu cinta yang diharapkan,
Itu hanya perasaan yang hanya mengundang tekanan,
Cinta sesungguhnya apabila kamu mencinta keranaNya,
Redha dengan takdirNya,
Menerima suratan dengan siapa kamu dipertemukan,
Mensyukuri pertemuan jodohmu walau bukan dengan insan idaman,
Asalkan si dia mencintai Tuhan,
Kita kan terus mencintainya tanpa alasan.
Mengapa
dicari secantik Balqis, andai diri tidak sehebat Sulaiman..Mengapa
mengharap teman setampan Yusof jika kasih tidak setulus Zulaikha..
Mengapa
mengharap teman seteguh Ibrahim andai diri tidak sehebat Siti
Hajar..Mengapa didambakan teman sehidup yang sempurna Muhammad jika ada
keburukan pada diri sendiri..
Bimbinglah
dirinya dan terimalah kekurangan itu sebagai keunikan..Carilah kebaikan
itu pada dirinya. Bersyukurlah kerana dipertemukan dengannya dan
berdoalah dia milikmu…
“Aku
mencintaimu kerana AGAMA yang ada padamu, Jika kau hilangkan AGAMA
dalam dirimu, hilanglah CINTAku padamu..” (Imam Nawawi )
Saudaraku tersayang,
Pencinta. Orang yang wujud dihatinya akan suatu rasa mencintai Allah melebihi segala apa yang ada di langit dan dibumi, nescaya tiada duka buatnya. Allah akan memenuhi rindu dihatinya, tiada lagi rindunya buat duniawi yang akan binasa.
Seseorang Pencinta akan..
Seseorang
pecinta akan selalu berfikir dan menyebut insan yang dicintai, ibaratnya
tak mati di hati, tak lekang di bibir. Demikian jualah cinta untuk
Illahi, persiapkan lisan untuk selalu menyebut indah namaNya, sediakan
hati untuk selalu mengingatiNya, dan jadilah insan yang paling bahagia
dalam redaNya.
Hadis Qudsi:
Allah swt berfirman: “Aku menurut
sangkaan hamba kepada-Ku, dan Aku bersamanya apabila dia ingat
kepada-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dan dalam dirinya maka Aku
mengingatnya dalam diri-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dalam kelompok
orang-orang yang lebih baik dari kelompok mereka. Jika dia mendekat
kepada-Ku sejengkal maka Aku mendekat kepadanya sehasta. Jika dia
mendekat kepada-Ku sehasta maka Aku mendekat kepadanya sedepa. Jika dia
datang kepada-Ku dengan berjalan maka Aku datang kepadanya dengan
berlari-lari kecil.” (Sahih Bukhari)
Amin.
Nama : Iffa-izzati Binti Hamid
Blog :
http://www.nurheart-hatiseorangaku.blogspot.com/