Jodoh tiada kaitan
dengan keturunan. Hanya belum sampai masanya. Ia bagai menanti jambatan
untuk keseberang. Kalau panjang jambatannya, jauhlah perjalanan kita.
Ada orang jodohnya cepat sebab jambatannya singkat. Usia 25 tahun
rasanya belumlah terlalu lewat. Dan usia 35 tahun belum apa-apa kalau
sepanjang usia itu telah digunakan untuk membina kecemerlangan.
Nyatakanlah perasaan dan keinginan anda dalam doa-doa lewat solat. Allah
itu Maha Mendengar. Wanita baik untuk lelaki yang baik, sebaliknya
wanita jahat untuk lelaki yang jahat. Yakinlah pada janji-Nya kerana
kita orang yang beriman.
Biar lambat jodoh
asalkan mendapat Mr. Right dan biar seorang diri daripada menjadi mangsa
lelaki yang tidak beriman kemudian nanti. Memang kita mudah tersilap
mentafsir kehidupan ini. Kita selalu sangka, aku pasti bahagia kalau
mendapat ini. Hakikatnya, apabila kita benar-benar mendapat apa yang
kita inginkan itu, ia juga datang bersama masalah. Kita juga selalu melihat orang memandu kereta mewah dan terdetiklah
dihati kita, alangkah bahagianya orang itu. Hakikatnya, apabila kita
sendiri telah memiliki kereta mewah, kita ditimpa pelbagai karenah.
Tidak mustahil pula orang yang memandu kereta mewah terpaksa membayar
lebih tatkala berhenti untuk membeli durian di tepi jalan.
Ketika anda terperangkap dalam kesesakan jalan raya, motosikal
mencelah-celah hingga mampu berada jauh dihadapan. Anda pun mengeluh,
alangkah baiknya kalau aku hanya menunggang motosikal itu dan cepat
sampai ke tempat yang dituju. Padahal si penunggang motosikal sedang
memikirkan bilakah dia akan memandu kereta. Bukan semua yang anda sangka
membahagiakan itu benar-benar membahagiakan. Bahagianya mungkin ada
tapi deritanya juga datang sama. Semua benda pasti ada baik dan
buruknya.
Demikian juga perkahwinan. Ia baik sebagai saluran
yang betul untuk melepaskan syahwat tapi ramai juga orang yang berkahwin
hidupnya semakin tidak terurus. Ramai
orang menempah neraka sebaik melangkahkan kaki ke alam berumahtangga.
Bukankah dangan Ijab dan Kabul selain menghalalkan hubungan kelamin,
tanggungjawab yang terpaksa dipikul juga turut bertambah? Bukankah
apabila anda gagal melaksanakannya, anda membina dosa seterusnya
jambatan ke neraka? Berapa ramaikah yang menyesali perkahwinan padahal
dahulunya mereka bermati-matian membina janji, memupuk cinta kasih malah
ada yang sanggup berkorban apa sahaja asal impian menjadi nyata?
Jika
tidak sanggup bergelar isteri tidak usah berkahwin dulu. Jika merasakan
diri belum cukup ilmu bergelar ibu ayah, belajarlah dulu. Jika belum
bersedia untuk bersabar dengan karenah anak-anak, carilah dulu kesabaran
itu. Jangan berkahwin dahulu sebab kenyataannya ramai yang tidak
bersedia untuk melangkah tetapi setelah melompat, akhirnya jatuh
terjerumus dan tidak jumpa akar berpaut tatkala cuba mendaki naik.
Berkahwin
itu indah dan nikmat bagi yang benar-benar mengerti segala tuntutannya.
Berkahwin itu menjanjikan pahala tidak putus-putus bagi yang
menjadikannya gelanggang untuk menjadikan syurga sebagai matlamat.
Berkahwin itu sempadan dari ketidaksempurnaan insan kepada kesempurnaan
insan – bagi yang mengetahui rahsia-rahsianya. Berkahwinlah demi
Tuhan dan Nabi-Nya, bukan kerana perasaan dan mengikut kebiasaan. Jodoh
usah terlalu dirisaukan, tiba masanya ia akan datang menjemput, namun
perlu juga anda membuka lorong-lorongnya agar jemputan itu mudah sampai.
Kadangkala Allah sembunyikan matahari, Dia datangkan
petir dan kilat. Kita menangis dan tertanya-tanya, kemana menghilangnya
sinar. Rupa-rupanya Allah nak hadiahkan kita pelangi. Cinta yang
disemadikan tidak mungkin layu selagi ada imbas kembali. Hati
remuk kembali kukuh selagi ketenangan dikecapi. Jiwa yang pasrah
bertukar haluan selagi esok masih ada. Parut lama pastikan sembuh selagi
iman terselit di dada. Kekayaan yang paling kaya adalah akal,
kemiskinan yang paling besar adalah jahil, keburukan yang paling hodoh
adalah sesat.
Tidak berguna adanya mata andai
tidak dapat melihat, tak guna adanya hati kalau tak tahu menilai.
Nilailah hati itu dengan teliti sebelum pergi mengundur diri kerana
segalanya bermula dengan niat yang bertempat di hati.
0 comments:
Post a Comment