Puisi
Guru Oh Guru – Usman Awang
Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewas
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat
USMAN AWANG
1979
Setiap kali membaca puisi Guru Oh Guru oleh SN Dato’ Dr Usman Awang
wajah setiap guru yang pernah mendidik dari sekolah rendah hingga
universiti akan bermain dalam ingatan.
Menjadi seorang guru
bukanlah satu tugas yang mudah. Bukan semua insan sanggup dan mahu
melakukannya. Guru ibarat lilin, membakar diri menerangi orang lain.
Sejak dahulu hingga kini guru tetap merupakan insan penting dalam
kehidupan kita.
Namun, akhir-akhir ini sering kita dengar
hal-hal kurang menyenangkan antara guru dan pelajar. Tidak sedikit kisah
yang kita dengar tentang guru mencabul pelajarnya, begitu juga guru
memukul dan mencederakan pelajar dan macam-macam lagi hal yang kurang
enak didengar.
Dari sudut lain pula, semakin ramai guru yang
keluh kesah dengan sikap pelajar masing-masing, terutamanya pelajar
remaja. Bukan sedikit kisah pelajar yang degil, ponteng sekolah,
melawan, memaki hamun, memukul atau menyakiti guru masing-masing.
Remajaku, gurumu untuk dikasihi bukan disakiti. Hayatilah puisi di atas
betapa sentuhan para guru merupakan sentuhan ajaib yang boleh mengubah
seorang manusia dengan izin Allah. Insan boleh menjadi istimewa atau
sebaliknya dengan bimbingan guru.
Dalam membicarakan kepentingan
guru dalam kehidupan remaja. Meletakkan semua tanggungjawab mendidik
diri remaja di atas bahu para guru juga merupakan perbuatan yang tidak
wajar. Guru adalah sebahagian daripada kehidupan seorang remaja. Namun
bahagian yang paling besar mesti diisi oleh ibu bapa. Guru ada
peranannya yang tersendiri dalam hidup remaja, manakala ibu bapa
memiliki tanggungjawab yang lebih besar dalam memastikan apa yang
disampaikan oleh guru diamalkan oleh anak remaja masing-masing.
Kenapakah guru sangat penting dalam kehidupan kita wahai remajaku?
Jawapannya kerana guru dan ilmu tidak dapat dipisahkan. Melalui guru
kita mendapatkan ilmu. Dalam mendapatkan ilmu kita memerlukan bimbingan
guru.
Islam memandang tinggi orang yang menuntut ilmu, ia
merupakan satu amalan yang sangat tinggi nilainya. Pahalanya amat besar
sehingga orang yang mati semasa menuntut ilmu dikategorikan seperti
seorang yang mati dalam beribadah.
Ayat pertama yang diturunkan
dalam al-Quran memerintah manusia supaya membaca yang maksudnya
menuntut ilmu, sebagaimana firman Tuhan yang bermaksud,
"Bacalah
dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia yang menciptakan
manusia daripada segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah yang Maha
Pemurah, yang mengajar manusia dengan perantaraan qalam.”
(Al-Alaq 96: 1-4)
Dalam sebuah hadis, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda (maksudnya),
"Barang siapa keluar untuk menuntut ilmu maka ia termasuk dalam
golongan orang yang berjuang di jalan Allah, sehinggalah dia kembali."
Menuntut ilmu sama ada ilmu fardu ain atau fardu kifayah, kedua-duanya adalah penting.
Allah turut berfirman (maksudnya),
"Katakanlah hai Muhammad! Adakah sama kedudukan orang berilmu dengan
orang yang tidak berilmu? Sesungguhnya orang yang sedar itu ialah orang
yang berfikir.”
(Az-Zumar 39: 9)
Ilmu pengetahuan yang
ada dalam diri seseorang itu dapat meningkatkan kedudukannya dalam
masyarakat. Lagi tinggi pengetahuan seseorang, lagi tinggilah
kemuliaannya dalam masyarakat. Orang berilmu bagaikan bintang yang
bersinar pada waktu malam.
Usia remaja adalah usia di mana
seseorang itu perlu melengkapkan diri dengan ilmu sebanyak-banyaknya
sebagai bekalan menuju kedewasaan dan paling penting menuju dunia abadi.
Usahlah marah dan benci jika guru memberikan nasihat. Jauhilah
salah sangka dan benci pada guru walaupun ada kalanya mereka melukakan
hatimu. Guru juga manusia, mereka juga boleh tersilap seperti kita.
Terimalah setiap ilmu, teguran, muhasabah, nasihat dan bekalan yang
gurumu berikan dengan lapang dada. Andai kita umpama si buta, guru
adalah tongkatnya. Andai kita umpama si jahil, belajarlah menjadi cerdik
dari seorang guru dan andai kita sebatang pensel, redhalah guru menjadi
pengasahnya!
http://www.malaysiaharmoni.com/