~~Tanpa ilmu dan amal aku bukanlah insan sempurna,aku hanyalah seorang yang berdosa... Aku amat mencintai orang² yang soleh, meskipun aku BUKAN sebahagian dari mereka.... Aku sangat benci orang² yang bermaksiat, meskipun tanpa sedar, aku SEBAHAGIAN dari mereka..... Memang aku tak layak berbicara tentang ilmu AGAMA , tapi aku mahu bersama dengan orang² yang tinggi ilmu AGAMA nya~~!.

Isu Lynas: Wawancara Bersama Pengerusi AELB

Posted by Dea at Monday, April 23, 2012 0 comments

Profesor Datuk Dr. Sukiman Sarmani
Pengerusi
Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB)
SmSn (UKM) 1973, PhD (University of Reading) UK 1976, FMIC, FASc
Pakar Penyelidik Tenaga Atom & Nuklear
Program Sains Nuklear
Universiti Kebangsaan Malaysia

Perkembangan terbaru isu Lynas barangkali memberikan sedikit kelegaan kepada rakyat Malaysia terutama bagi penduduk yang tinggal di Kuantan. Syarikat perlombongan nadir bumi Lynas (M) Sdn Bhd telah bersetuju untuk menghantar sisa industri dari kilang memproses bahan tersebut ke luar negara. MajalahSains.Com berpeluang menemubual Profesor Datuk Dr. Sukiman Sarmani selaku Pengerusi Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) yang juga pakar dalam bidang Sains Nuklear Universiti Kebangsaan Malaysia, bagi mendapatkan pandangan beliau tentang isu ini.


MajalahSains.Com : Syarikat Lynas Advanced Material Plant (LAMP) telah diberi Lesen Operasi Sementara (TOL) oleh AELB. (Rujukan : http://www.aelb.gov.my/aelb/malay/teks/lynas_pr.asp)
Boleh Prof jelaskan serba ringkas maksud TOL ini?
 
Prof Sukiman : Sebelum ini Lynas telah diberikan lesen untuk membina loji memproses mineral  nadir bumi pada tahun 2008. Sehingga kini kira-kira 90% kemudahan loji telah disiapkan. Peringkat seterusnya ialah memohon lesen untuk operasi kilang bagi menghasilkan nadir bumi.  Bagi mempastikan operasi loji menepati spesifikasi operasi seperti dalam dokumen memohon lesen maka Lesen Operasi Sementara (TOL) diberikan dahulu untuk tempoh dua tahun. Jika operasi kilang tidak menimbulkan masalah dari segi hazad radiologi, Lynas boleh memohon lesen operasi penuh. TOL membolehkan AELB memantau pelepasan bahan radioaktif dan AELB mempunyai kuasa untuk membatalkan TOL dengan serta merta jika operasi loji mendatangkan bahaya. Apabila TOL diluluskan maka lesen juga dikeluarkan bagi membolehkan syarikat  mengimport, mengangkut, menyimpan, mengendali dan memproses bahan radioaktif.
 

MajalahSains.Com : Isu yang timbul dan hangat diperkatakan ialah galian atau bijih yang dilombong di Mount Weld, Australia, kemudian dihantar ke Malaysia untuk diproses bagi mendapatkan logam nadir bumi yang sangat bernilai. Orang ramai berpendapat bahan galian yang mengandungi logam nadir bumi ini, apabila diproses akan menghasilkan sisa industri termasuk sisa radioaktif. Kemudian ia akan mencemarkan negara kita terutamanya di kawasan Gebeng, Kuantan. Apa komen Prof ?
 

Prof Sukiman : Unsur nadir bumi wujud dalam pelbagai mineral dan kerana unsur nadir bumi merupakan unsur berat dengan jejari atom yang hampir sama dengan  uranium dan torium maka mereka boleh wujud secara bersama tetapi pada kepekatan berbeza tergantung kepada jenis mineral. Mineral dari Lombong Mount Weld, Australia adalah jenis karbonatit dan karbonat mengandungi unsur torium dan uranium yang jauh lebih rendah. Mineral ini juga telah diproses untuk pemekatan di Mount Weld maka kandungan unsur sampingan juga menjadi berkurangan. Operasi sesuatu loji memang menghasilkan bahan sampingan yang yang boleh dinamakan sebagai sisa atau bahan sumber.  Menurut dokumen permohonan lesen hanya gypsum yang dikategorikan sebagai sisa manakala sisa lain menjadi sumber bahan mentah industri sampingan. Jika Lynas berjaya menurunkan kandungan bahan radioaktif dalam gypsum maka gypsum boleh digunakan sebagai sumber bahan binaan.
 
MajalahSains.Com : Masyarakat masih ragu-ragu dengan tahap pengurusan sisa bahan radioaktif. Apakah benar teknologi dan kepakaran yang kita miliki belum cukup untuk menghapuskan stigma masyarakat tentang kepakaran yang dimiliki oleh rakyat Malaysia?
 

Prof Sukiman : Kita sudah ada pengalaman menguruskan sisa loji ARE (Asian Rare Earth ) yang lebih tinggi kandungan bahan radioaktifnya maka kendalian sisa yang kurang radioaktif sudah tentu akan lebih mudah. Kita selalu memandang rendah akan kemampuan sendiri dan sentiasa menyanjung kepakaran luar.
 
MajalahSains.Com : Juga dibangkitkan isu pengurusan sisa yang gagal dari kilang Asian Rare Earth  (ARE) dan Malaysian Rare Earth Corporation (MAREC) pada tahun 1980-an di Bukit Merah. Sedangkan perbandingan sisa toksik (toria dan gypsum sintetik) yang ditunjukkan dalam laporan yang dikeluarkan oleh Akademi Sains Malaysia (Industri Nadir Bumi: Melonjakkan Ekonomi Hijau Malaysia ke Hadapan) jelas menunjukkan perbezaan ketara dari segi kandungan radioaktifnya. (Pengeluaran sisa kilang Syarikat Lynas (M) jauh lebih kecil sisa bahan beradioaktif ).Apa komen Prof ?
 

Prof Sukiman : Kandungan uranium dan torium yang diberikan adalah hasil daripada loji pandu skala makmal yang dilakukan di Australia. Kita akan mengetahui kandungan sebenar apabila loji beroperasi berasaskan TOL dan AELB akan menganalisis kandungan unsur radioaktif yang terdapat dalam gypsum tersebut. Pihak Lynas perlu mengotakan janji mereka tentang kandungan uranium dan torium dalam bahan mentah dan dalam sisanya seperti yang dinyatakan dalam dokumen permohonan lesen.

Sisa toria berasal dari mineral monazite yang diketahui tinggi kandungan uranium dan torium. Sebenarnya monazite adalah salah satu mineral sumber uranium dan torium.
Pada tahun 1980, belum ada Akta 304, Akta Perlesenan Tenaga Atom, sebab itulah tidak ada agensi yang memantau dan menguatkuasakan pengurusan sisa mengandungi uranium dan torium. Banyak perkara telah dipelajari daripada ARE.
 

MajalahSains.Com : Dari laporan ASM juga menyatakan bahawa insiden dari kilang ARE di Bukit Merah pada tahun 1980-an dahulu yang menghubungkaitkan dengan kes leukemia dan kematian yang dialami oleh pekerja-pekerja kilang tidak disokong fakta. Apa pendapat Prof ?
 
Prof Sukiman : Memang benar laporan dalam media dan yang disebut oleh beberapa NGO tidak berasaskan kepada data. Untuk rekod, ARE menang dalam kes di mahkamah tinggi dan operasi kilang ditutup bukan kerana atas perintah mahkamah tetapi atas alasan ekonomi. Atas jasa baik syarikat induk di Jepun mereka telah membelanjakan lebih RM 300 juta untuk membersih, mengurus dan menyimpan bahan sisa toria.
 

MajalahSains.Com : Rata-rata yang menentang operasi kilang logam nadir bumi, Lynas (M) membangkitkan isu kecekapan pengendalian sisa radioaktif, terutamanya unsur Thorium. Apakah Malaysia benar-benar mengamalkan prosedur pelupusan sisa radioaktif mengikut piawaian antarabangsa ?


Prof Sukiman : Dalam hal penggunaan tenaga nuklear Malaysia telah menandatangani pelbagai perjanjian, konvensyen dan protocol antarabangsa bagi mempastikan penggunaan tenaga nuklear tidak memudaratkan  orang awam, pekerja dan alam sekitar. Malaysia berkerja rapat dengan IAEA selaku agensi PBB yang memantau penggunaan tenaga nuklear diperingkat global. Malaysia sentiasa mengamalkan piawaian antarabangsa dalam segala peraturan dan perintah yang dikeluarkan di bawah Akta 304 Akta Lembaga Perlesenan Tenaga Atom.
 
MajalahSains.Com : Tahap keselamatan pekerja dan orang awam adalah satu perkara yang amat diberi perhatian dalam pengendalian operasi kilang nadir bumi. Pada pandangan Prof, apakah jaminan tahap keselamatan yang ditawarkan oleh Syarikat Lynas (M) mampu meyakinkan orang ramai tentang tahap keupayaan mereka mengendalikan risiko bencana sekiranya ia berlaku?
 
Prof Sukiman : Apabila lesen operasi dikeluarkan maka menjadi obligasi mandatori syarikat Lynas mematuhi segala keperluan dalam Akta 304 bagi mengawal keselamatan pekerja, orang awam dan alam sekitar. Para pekerja yang terlibat secara langsung dengan bahan radioaktif akan dikelaskan sebagai pekerja sinaran dan syarikat wajib memastikan mereka menerima  dos sinaran  tahunan di bawah 20mSv. Peralatan pemantauan sinaran di tempat kerja dan perkakas perlindungan pekerja perlu ada seperti yang ditetapkan dalam lesen. AELB juga akan memantau pematuhan kepada syarat tersebut secara berkala.


MajalahSains.Com : Akhbar turut melaporkan, bahawa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah memberi jaminan bahawa sisa-sisa yang dikeluarkan daripada pengilangan bahan mentah dari loji Syarikat Lynas (M) mengandungi tahap bahan radioaktif yang rendah. Namun kenyataan ini terus dimanipulasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan menafikannya. Apa komen Prof ?
 
Prof Sukiman : Salah satu syarat TOL ialah supaya Lynas dalam masa 10 bulan menunjukkan Perancangan Pembinaan PDF (Kemudahan Pelupusan Kekal) yang jauh dari kawasan penempatan. Perkembangan terbaru ialah Lynas bersetuju untuk menghantar sisa ke luar Negara. Sudah tentu ini telah memenuhi salah satu syarat TOL.
 

Tentang Dea © 2010 Web Design by Ipietoon Blogger Template and Home Design and Decor