~~Tanpa ilmu dan amal aku bukanlah insan sempurna,aku hanyalah seorang yang berdosa... Aku amat mencintai orang² yang soleh, meskipun aku BUKAN sebahagian dari mereka.... Aku sangat benci orang² yang bermaksiat, meskipun tanpa sedar, aku SEBAHAGIAN dari mereka..... Memang aku tak layak berbicara tentang ilmu AGAMA , tapi aku mahu bersama dengan orang² yang tinggi ilmu AGAMA nya~~!.

Benarkah Makanan Mempengaruhi Akhlak Kita?

Posted by Dea at Friday, December 23, 2011
Sebagai orang Islam, kita sememangnya tahu bahawa makanan yang ditetapkan haram tidak boleh dimakan. Dalam dunia ini masih banyak lagi makanan halal yang boleh dimakan. Namun tahukah kita bahawa makanan yang kita makan juga turut mempengaruhi akhlak seharian kita. Benarkah begitu? Ya benar. Apa yang baik kita masukkan dalam badan kita, maka baiklah akhlak kita. Jika buruk yang kita masukkan dalam badan kita, maka ia akan berlaku sebaliknya.
Makanan yang tidak halal terbahagi kepada tiga kategori. Pertama: Apa yang kita ketahui secara zahir adalah halal, seperti makanan yang dijual oleh restoran Muslim. Kita tidak dituntut untuk menyemak status para pembekal kepada restoran itu sama ada mereka menepati syarat-syarat halal atau tidak.
Dalam kategori ini, seandainya ada makanan yang tidak halal dalam restoran itu, kita sebagai pengguna tidak berdosa kerana ia bukan sesuatu yang disengajakan. Allah berfirman: Dan kamu tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya dan ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [al-Ahzab 33:05]
Kedua: Apa yang diketahui sebagai tidak halal secara jelas, namun pada saat itu kita berada dalam keadaan darurat sehingga terpaksa memakannya. Maksud darurat ialah suasana yang mengancam nyawa dan anggota (life and death situation).
Dalam kategori ini, kita sebagai pengguna tidak berdosa untuk memakan sekadar yang perlu kerana suasana darurat tersebut menghalalkan apa yang haram. Allah berfirman: Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah. Maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [al-Baqarah 2:173]
Ketiga: Apa yang diketahui secara jelas adalah tidak halal, namun ia tetap sengaja dimakan. Sengaja memakan apa yang tidak halal adalah perbuatan dosa dan semua perbuatan dosa – tanpa terhad kepada makanan tidak halal – akan menggelapkan hati seseorang. Semakin kerap seseorang itu sengaja melakukan dosa, semakin gelaplah hatinya. Semakin gelap hati seseorang, semakin dia terhijab dari Islam yang sebenar. Semakin jauh dari Islam yang sebenar, semakin rosaklah akhlak orang tersebut.
Rasulullah bersabda berkenaan dosa dan hati: Sesungguhnya apabila seorang mukmin berbuat dosa, maka akan ada titik hitam di dalam hatinya. Jika dia bertaubat, meninggalkannya serta meminta ampun maka hatinya akan kembali putih. Namun jika dia menambah (dosanya) maka akan bertambah (titik hitam), maka itulah penutup (hati) yang di sebutkan dalam firman Allah dalam kitab-Nya: “Sekali-kali tidak (demikian), Sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka.”(al-Mutaffifin 83:14) [Shahih Sunan Ibn Majah, no: 4244]
Melayukini.net - Kita perlulah sentiasa memastikan makanan yang kita makan itu datangnya dari sumber yang halal. Samalah juga jika kita seorang bapa atau suami, kita hendaklah memberikan mereka nafkah dari sumber makanan yang halal. Oleh kerana itulah ramai ustaz-uztaz sering mengingatkan kita bahawa makanan itu antara perkara yang menyumbang dalam pembentukan akhlak kita.

0 comments:

Post a Comment

 

Tentang Dea © 2010 Web Design by Ipietoon Blogger Template and Home Design and Decor